CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, May 10, 2009

MIMPI...


Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Malik b Dinar menceritakan juga tentang dirinya. Ringkasan ceritanya adalah seperti berikut :


Dulu, aku memang jahat. Pelbagai maksiat telah aku lakukan. Antaranya, aku selalu minum arak. Aku mempunyai seorang anak perempuan. Aku amat sayang kepada anakku itu. Dia selalu mengganggu aku ketika aku minum arak. Gelas yang berisi arak di tanganku selalu dirampas, lantas dicurahkannya arak itu ke jubahku. Barangkali kerana terlalu sayang kepadanya, perbuatannya itu tidak menimbulkan kemarahanku. Aku tak sampai hati hendak memarahinya, apa lagi menderanya.

Sesungguhnya kelahiran anakku itu membawa kebahagiaan dalam keluargaku. Tetapi amat malang bagiku, anak yang amat aku kasihi itu telah pulang ke rahmatullah setelah berusia kira-kira dua tahun. Aku kehilangan buah hati yang tiada gantinya lagi. Kematiannya itu sudah tentu membawa kemuraman dalam hidupku dan keluargaku.Dalam suasana hidup yang amat muram itu, pada suatu malam (menurut riwayat lain; malam berkenaan ialah malam Nisfu Sya’aban) aku bermimpi, hari Kiamat telah tiba dan aku bertemu dengan anakku itu. Sebelum itu, dalam mimpiku itu, aku melihat manusia berduyun-duyun keluar dari kubur masing-masing dan bergerak ke tempat perhimpunan manusia di Padang Mahsyar. Aku juga turut bergerak ke tempat itu. Tiba-tiba kedengaran di belakangku suatu bunyi desiran. Aku segera menoleh ke belakang. Alangkah terkejut dan takutnya aku, apabila ada seekor naga yang besar sedang mengangakan mulutnya yang luas hendak menelan aku. Aku terus memecut lari dengan sekuat tenaga dan upayaku sehingga aku terserempak dengan seorang lelaki tua. Lantas aku segera meminta pertologan daripada orang tua itu:
“Wahai bapa, tolonglah aku. Aku dikejar oleh naga itu,” kataku dengan penuh ketakutan.
“Aku tak berupaya menolongmu. Aku sudah tua dan lemah,” jawab orang tua itu. “Larilah terus. Mungkin di sana ada orang yang boleh menolongmu,” katanya lagi.Aku berlari lagi sehingga sampai ke sebuah bukit kecil.. Bukit itu aku daki hingga ke puncaknya. Apabila aku melihat ke bawah, sekali lagi aku terperanjat besar. Di sebalik bukit itu, aku lihat api neraka yang besar sedang menyala dengan marak. Sekarang aku harus segera membuat pilihan, sama ada terjun ke dalam api neraka itu atau menyerah diri untuk ditelan oleh naga itu.
Dalam keadaan terdesak itu, tiba-tiba kedengaran suatu suara; “Wahai Malik! Sebenarnya engkau bukan mangsa api neraka itu.” Dan, apabila aku berpaling ke belakang, tiba-tiba muncul orang tua yang aku temui tadi. “Kasihankan aku, wahai bapa! Tolonglah aku!” aku merayu-rayu pula kepada orang tua itu supaya menolong aku. “Aku sudah tua dan sangat lemah. Tiada upaya padaku untuk menolongmu,” orang tua itu memberi jawapan yang sama kepadaku. “Larilah engkau ke bukit yang satu lagi itu. Di situ ada kaum Muslimin yang sentiasa mendapat perlindungan Allah S.W.T.,” kata orang tua itu lagi sambil menunjukkan jalan ke bukit yang tidak berapa jauh dari situ.
“Terima kasih, bapa,” kataku.
Aku lihat bukit itu sampai ke puncaknya. Dari puncak bukit itu, aku dapat melihat sebuah bangunan berkubah tirus dan tingkap-tingkapnya terbuka, mempamerkan kain langsir yang amat indah dan berkilau-kilauan. Aku segera menghampiri bangunan itu dan cuba memasukinya. Tiba-tiba kedengaran satu suara: “Bukalah pintu! Keluarlah kamu semua! Barangkali ada antara kamu yang dapat menolong orang jahat itu.”
Selepas itu aku lihat ramai kanak-kanak keluar dari bangunan itu. Mereka melihat kepadaku dengan pandangan yang membayangkan rasa simpati kerana mereka nampak aku sedang di dalam ketakutan dikejar oleh naga itu. Tiba-tiba, aku ternampak anak perempuanku yang sudah meninggal dunia, ada juga di dalam kumpulan kanak-kanak itu. Anakku terus menangis sebaik saja melihat aku, lantas berlari-lari mendapatkan aku. Kemudian, dia menghulurkan tangannya ke arah naga yang mengejar aku itu. Dengan serta merta naga itu pun menghilangkan dirinya. Dengan rasa gembira aku memangku anakku itu dan dia begitu senang melurut-lurut janggutku. Sambil itu dia melafazkan kata-kata yang amat indah bunyinya :
“Masih belum tiba lagikah masa bagi orang-orang yang jahil itu menyembah Allah dan menginsafi petunjuk Allah terhadap diri mereka?”
Mendengar kata-kata itu, rasa sedih di hatiku tidak tertahan lagi, lalu aku menangis kerana menyesali perbuatan dosa yang telah aku lakukan.
Dalam perbualan antara aku dengan anakku seterusnya, anakku menerangkan bahawa, naga yang mengejar aku itu sebenarnya ialah perbuatan dosa yang telah aku lakukan. Manakala orang tua itu pula ialah perbuatan baikku yang telah menjadi lemah oleh pengaruh dosa aku yang lebih banyak. Akhirnya, anakku menerangkan bahawa, kanak-kanak di dalam bangunan di atas bukit itu ialah anak-anak kaum Muslimin yang telah meninggal dunia semasa kecil. Mereka sedang menunggu ibu bapa mereka untuk memberi pertolongan yang diperlukan.
Selepas itu, aku pun tersedar daripada mimpiku itu. Sejak saat itu, aku betul-betul menjadi insaf, bertaubat nasuha dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T. yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
Wallahu a’lam.

0 ulasan:

iman